Hendak sertai kami? Sila lah ke sini dan jika anda hendak berkongsi artikel di sini, hantarkan karya anda disini.

Bulan Ramadhan VS Bulan Hantu Lapar

Alhamdulilah, kita dah separuh jalan didalam bulan Ramadhan! Tahniah dan kita semakin menghampiri Lailatul Qadar. Semoga kita menemukannya. (diedit oleh editor)

Semasa saya berjalan pulang ke kedai semalam, saya ternampak satu senario yang sudah lama saya tidak berikan perhatian. Kelihatan lilin-lilin merah dan colok dibakar di hadapan rumah.
"Oh, sudah masuk bulan Hantu Lapar rupa-rupanya!"
Saya sudah hampir terlupa. Maklumlah setelah memeluk Islam, saya lebih kerap meneliti kalendar kuda untuk bulan-bulan Islam, dan bukan lagi tarikh dalam kalendar Cina. Tambahan lagi, keluarga Cina saya tidak lagi meminta saya pulang untuk upacara menyembah nenek moyang pada bulan ke7.

Tatkala umat Islam bakal menyambut Ramadhan esok dan berpuasa wajib selama sebulan, penganut fahaman Buddha dan Tao pula sudah beberapa hari menyambut bulan ke7 kalendar Cina. Lebih dikenali dengan istilah 'Hungry Ghost Festival' atau perayaan hantu lapar.

"Mengapa ada bendera warna-warni di tepi jalan?"
"Oh, itu petanda sudah masuk bulan ke7 kalendar Cina. Bendera-bendera itu mewakili sponsor untuk majlis perayaan hantu lapar yang dianjurkan. Tak boleh dikelirukan dengan bendera parti politik sempena pilihanraya kecil nanti, hahahaa.."

"Mengapa orang Cina bakar lilin dan colok di luar rumah?"
"Oh, itu kerana orang Cina berfahaman Buddha dan Tao percaya bahawa bulan ke 7 mengikut kalendar Cina, pintu neraka akan terbuka dan hantu-hantu akan berkeliaran selepas senja hingga subuh. Biasanya keluarga beragama Buddha akan menyiapkan makanan untuk disembah kepada roh nenek moyang ketika ini. Ada roh orang mati yang tidak disembah oleh keluarganya maka ia akan merayau-rayau mencari makanan pada bulan ini. Hantu-hantu yang lapar ini dipercayai akan menimbulkan kacau-bilau sepanjang bulan ke7 ni."

"Oh, kira orang Cina percaya pada hantu lah?"
"Percaya tu percayalah juga tetapi hantu Cina tak ada nama, tak macam hantu Melayu yang bermacam-macam jenis. Orang Cina pantang, hantu apapun cuma diberikan nama 'kwei'. Orang fahaman Buddha dan Tao bukan setakat percaya wujudnya hantu malah hantu-hantu lapar itu akan diberi layanan khas supaya mereka tidak mengganggu orang yang masih hidup. Sebab itulah kamu akan nampak ada rumah orang Cina yang menyalakan lilin merah dan colok di depan rumah, serta buat sembahan makanan seperti kuih dan nasi."


"Untuk apa semua itu? Takkan untuk hantu lapar?"
"Benar tu. Untuk menjamu hantu-hantu lapar yang berkeliaran supaya mereka tidak masuk ke dalam rumah dan mengganggu orang yang tinggal di situ. Kadang-kadang kertas emas juga akan dibakar kerana dipercayai roh itu akan dapat menerimanya di neraka untuk digunakan di sana."

"Tahun lalu dekat rumah kami, ada orang Cina yang buat jamuan besar-besaran, macam ada daging salai, ada colok besar, mengapa ya?"
"Oh, itu biasanya untuk taukeh dan peniaga. Mereka adakan jamuan daging khinzir bakar dengan kepercayaan bahawa apabila menjamu roh nenek moyang mereka dan hantu-hantu lapar, mereka akan mendapat ganjaran dan rezeki yang lebih baik kelak. Lagipun ada yang takut bahawa roh mereka yang telah dianiayai ketika hidup akan kembali membalas dendam pada bulan ke7 ini, maka untuk mengelakkan malapetaka, lebih baik menjamu hantu-hantu ini dengan harapan yang hidup tidak akan diganggu."

"Benarkah ada hantu lapar pada bulan ini?"
"Entahlah, tapi itulah kepercayaan orang Cina yang diperturunkan zaman berzaman. Saya ingat lagi, setiap kali bulan ke7, nenek dan mak tok akan melarang kami kanak-kanak keluar rumah selepas senja, takut bertembung dengan hantu atau diikuti oleh benda itu pulang ke rumah. Langsung tak boleh pergi berkelah atau berenang. Setiap kali ada berita kemalangan pada waktu malam atau berita orang lemas, nenek akan kaitkan dengan bahaya pada bulan ke7 ini. Perkahwinan memang dilarang pada bulan ini kecuali untuk mereka yang berani."

"Tak ada kawalan ke atas hantu-hantu lapar itu pada sepanjang bulankah?"
"Ada.. itu tugas Phor Thor Kong atau Raja Neraka. Ia akan disembah kerana dipercayai akan mengawal semua hantu lapar yang dilepaskan ke dunia. Wajahnya menakutkan, hitam dan lidahnya panjang. Itu kepercayaan orang Cina berfahaman Tao tetapi kisah penganut Buddha agak berlainan."

"Ada kelainan ker?"
"Ada. Penganut Buddha percaya pada cerita seorang pengikut Buddha yang melihat ibunya yang sangat sombong dan kedekut ketika hidup, menderita menjadi hantu lapar yang tidak pernah kenyang di neraka. Beliau berusaha beribadat dan membuat amal sehingga ibunya berjaya diselamatkan daripada menjadi hantu lapar. Terharu dengan kesungguhan Mu Lian, Buddha telah membenarkan roh-roh hantu lapar untuk ke dunia mencari makanan. 15 bulan 7 hari kebesaran memperingati kejayaan Mu Lian menyelamatkan ibunya daripada terus menjadi hantu lapar."

Ironi sungguh keadaan tahun ini.
Ketika orang Islam mula berpuasa pada waktu siang kerana patuh pada suruhan Allah swt yang mewajibkan puasa ke atas semua umatNya, pada waktu yang sama ada golongan lain yang akan menjamu roh nenek moyang mereka dengan pelbagai hidangan.

Ketika orang Islam memenuhi masjid dan surau dengan ibadah solat terawih dengan tujuan mendekatkan diri pada Allah swt, orang beragama Buddha dan Tao pula akan ke panggung terbuka di kawasan-kawasan majoriti Cina untuk berhibur menyaksikan 'kotai' [konsert dan opera Cina], sambil berhati-hati meninggalkan barisan pertama di panggung itu kosong kerana itu dikhaskan untuk hantu-hantu lapar yang mahu berhibur.

Umat Islam percaya pada bulan Ramadan [22 Ogos - 20 September] segala syaitan akan dirantaikan daripada mengganggu manusia mengerjakan ibadat. Ironinya, golongan penganut Buddha dan Tao pula percaya pada bulan7 [20 Ogos - 18 September] ini hantu-hantu lapar akan berkeliaran.
Hmmm... mungkinkah makhluk tersebut hanya akan mengganggu orang kafir yang percaya pada kehadirannya saja sepanjang bulan7 tahun ini?

Umat Islam menanti-nantikan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat, dan berbelanja menyediakan pelbagai juadah bersahur dan berbuka puasa. Khemah-khemah bazaar Ramadhan sudah tentu akan didirikan di sepanjang jalan pada bulan ini.

Orang fahaman Buddha dan Tao pula menerima kedatangan bulan ke7, bulan Hantu Lapar sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Mereka berbelanja menjamu dan melayan hantu-hantu lapar dalam keadaan yang agak takut dan terpaksa. Khemah-khemah dan pentas khas juga akan didirikan di tepi jalan untuk upacara keagamaan dan kotai.

Jangan terkejut jikalau pada bulan ini, ada satu jalan yang dipasang khemah Bazaar Ramadhan dan di jalan sebelahnya pula dipasang khemah untuk menyembah Phor Thor Kong.

Kitakan rakyat Malaysia.
Inilah dunia sekarang yang kepelbagaian.
Bertuahnya kita di bumi Allah!
Semua ada. Semua peristiwa boleh dilihat dan direnung.
Semoga kita terus diberi taufik dan hidayahNya.
Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih bermakna, lebih mendekatkan kita padaNya, mengeratkan lagi tali siratulrahim dan mengajar kita apa ertinya kita menganut Islam dan bergelar hambaNya.
Selamat bersahur, dan Selamat Berpuasa.

Pengarang: Nur Aliya Yeoh
Artikel Asal: http://pukullima.blogspot.com/2009/08/bulan-ramadhan-vs-bulan-hantu-lapar.html

Sekadar untuk berkongsi dengan semua, cik Aliya merupakan seorang mualaf (cina muslim)


langgani RSS Feed "Komuniti Bloggers Penang" untuk mendapat update terkini dari "Komuniti Bloggers Penang".