Artikel ini adalah hasil penulis saudara long tambang.
Link Artikel: Bila Semut Mengigit
Blog Penulis: Long Tambang Pulau Betong
Tentang Penulis: Profil
Dalil:
Mari kita khusyuk dan tawadduk kepada beberapa firmanNya yang bermaksud,
"Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz)." (surah Huud: 6)
"Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." (al-An'aam: 99)
"Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati". (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur." (al-Mulk: 23)
"Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: 'Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyadari.', " (an-Naml: 18)
"maka dia tersenyum dengan tertawa karena (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: 'Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh'." (an-Naml: 19)Apa kata manusia?
Bila Semut Menggigit, ramai yang menyumpah-nyumpah seperti,
"Adoiii! Celaka punya semut!"
"Dah tak cukup makan ke wahai semut, sampai aku pun kau gigit!"
"Jaga kau, nanti aku 'spray' Ridsect, mampuslah engkau semuanya!"
"Nyah kau dari kebun aku, binatang tak sedar diri!"
Amat kurang yang berkata,
"Alhamdulillah! Gigitan mu mengingatkan ku siksaan di alam kubur."
"Alhamdulillah! Engkau telah memakan sisa makanan ku."
"Pergilah semut, kau juga makhluk Tuhan. Bila aku dikebumi nanti kau gigitlah sepuas-puasnya."
"Alhamdulillah! Kau telah menyuburkan tanah kebun ku!"
Penjelasan:
Dalil pertama dan kedua berupa peringatan kepada manusia bahawa segala binatang bernyawa yang bergerak (melata) di muka bumi ini adalah ciptaanNya. Tuhan lah yang memberi rezeki (hidup, makan, minum, tidur, jaga, sihat, sakit dan mati) kepada segala jenis binatang hidup. Contohnya lembu meragut rumput yang tumbuh; helang menyambar ikan; ikan besar memakan ikan kecil; ikan kecil memakan moluska kecil (hidupan marin bercengkerang); moluska kecil memakan plankton dan algae (sejenis tumbuhan marin).
Begitulah jua semut. Semut memakan sisa makanan manusia; sisa makanan kita berasal dari daging lembu yang meragut rumput; sisa makanan dari nasi (berkanji-gula) dari pokok padi; sisa roti dari pokok gandum; sisa gula dari pokok tebu; sisa coklat dari susu lembu yang meragut rumput; sisa bangkai belalang yang memakan daun; sisa daging manusia yang telah mati; manusia yang memakan daging dan tumbuhan. Semuanya membentuk rantaian makanan (food chain) yang berterusan dan seimbang. Segalanya berasal dari air hujan yang menghidupkan, menyihatkan, menyegarkan, mensuburkan dan mengekalkan segala tumbuhan dan setiap makhluk yang melata (manusia pun melata di KL kalau ditenung dari puncak KLCC). Air hujan adalah ciptaan Yang Maha Sempurna. Air punca segala kehidupan. Bumi (zat tanah), matahari (zat cahaya), dan angin (zat udara). Semuanya mengikut kadar dan pengukuran yang maha jitu dari Tuhan Yang Maha Bijaksana. Misalnya zat udara di atmosfera bumi mengandungi peratusan komposisi gas-gas yang seimbang dan terperinci kejadiannya;
Gas nitrogen sebanyak 78.08%, asas sebatian nitro yang membina sel tisu tumbuhan dan haiwan. Hormon dan enzim juga terbina dari sebatian nitro.
Gas oksigen sebanyak 20.95%, membekal sebatian oksigen kepada sel haiwan (termasuk spesis manusia) dan sel akar tumbuhan. Jika tiada oksigen, sel tubuh dan sel otak manusia pun mati. Jantung pun terhenti!
Gas karbon dioksida hanya sebanyak 0.036%. Kenapa hanya sedikit? Kerana manusia dan haiwan membakar makanan menghasilkan tenaga dan gas karbon dioksida. Gas ini dibebaskan semasa hembusan nafas. Sebarang pembakaran bahan organik (termasuk petroleum) menghasilkan gas karbon dioksida yang diserap pula oleh tumbuhan sebagai bahan asas membina tenaga kimia makanan. Sebagai balasannya, tumbuhan bekalkan kita gas oksigen!
Manusia dikurniakan Tuhan dengan akal (cetusan fikiran di otak) supaya merancang kehidupan, berusaha, berdoa dan mensyukuri. Teringat kata-kata hikmah dari bekas bos aku yang beragama Buddha, "Zaidi, plan your work; work with your plan; pray and be thankful!".
Sifat Tuhan terlalu Agung untuk merancang. Merancang hanya kerja manusia yang lemah. Tuhan Yang Maha Berkuasa "menetapkan" sesuatu kejadian dan ditinta di kalam Loh Mahfuz. Kemudian segala "ketentuanNya" datang dari "ketetapan" yang boleh Tuhan ubah. Misalnya telah "ditetapkanNya" di Loh Mahfuz bahawa aku akan mati 3 saat dari sekarang. Oleh kerana aku terus menulis entri ini bertujuan untuk menyampaikan ilmu, aku "diizinNya" untuk terus hidup! Keizinan untuk aku terus hidup merupakan "penentuanNya" ke atas "ketetapanNya".
Alhamdulillah!
Bukan kita yang memberi makanan kepada semut kerana asal segala sisa makanan dan kita sendiri pun dicipta Tuhan! Maka, Tuhan lah yang mencipta dan memberi rezeki kepada kepada setiap makhluk yang melata!
Dalil dari ayat ke tiga (al-Mulk: 23) merupakan ayat seruan dari Tuhan. Allah SWT menyuruh kita bersyukur kepada Nya yang menjadikan kesempurnaan manusia. Secara saintifiknya penglihatan manusia menghasilkan imej di retina mata dan seterusnya menghasilkan impuls (denyutan) maklumat yang dihantar ke otak untuk diterjemah dan akal berfikir. Bunyian yang kecil diperbesarkan (amplified) pada sel gegendang dan isyarat maklumat dihantar ke otak untuk pentafsiran. Otak pula memberikan jawapannya dari pentafsiran maklumat-maklumat. Tergeraklah hati untuk memberi arahan kepada otak supaya menggerakkan kita membalas percakapan atau menggerakkan anggota tubuh. Segala pergerakan (juga percakapan) fizikal manusia diarahkan oleh otak. Pemberi arahan kepada otak ialah hati. Maka dengan sebab itulah segala kesyukuran itu datangnya dari hati yang khusyuk dan tawadduk. Sebab itulah jua iblis dan syaitan meracuni hati. Sebab itu jua lah sekiranya kita tiada otak yang berakal (berilmu) memproses jawapan, hati pun memberi arahan seperti yang diarahkan iblis dan syaitan! Maka ilmukan lah otak dengan ilmu yang baik dan sucikan lah hati supaya kehidupan kita tidak dipengaruhi iblis dan syaitan yang takabbur dan tidak mensyukuri asal-usul kejadiannya.
Terlalu asyik menyampaikan bukti-bukti kebesaran Tuhan sehingga terlupa pula kebaikan si semut. "Sorry ye semut, hehe."
Antara hikmah kejadian semut ialah seperti berikut:
- Gigitan semut yang sakit tetapi penuh manja itu berhikmah supaya kita ingat kesakitan yang tidak dijemput itu sedikit sangat berbanding kesakitan yang kita cari sendiri. Ingat Mat Rempit!
- Memakan sisa makanan yang kita tinggalkan supaya makanan itu tidak dicerna oleh virus, bakteria dan kulat (kumpulan mikrob). Makhluk-makhluk halus inilah yang membawa penyakit berkuman (patogenik) misalnya bakteria salmonella dan virus selesema . Mikrob jahat (makhluk halus) mencerna makanan sambil membebaskan toksin (racun) kepada manusia. Tentulah mikrob jahat ini pun ada memberi hikmah di sebalik penyakit yang singgah. Supaya kita sedar akan kematian dan takutkan siksaan alam kubur dan neraka! Tentulah ada hikmah mikrob baik juga! Seperti bakteria baik terkultur dalam susu Yakult dan Vitagen.
- Memakan tisu bangkai haiwan (dan mayat kita dalam kubur) secara bersistematik dan manja (tidak bersepah-sepah). Mereka gunting tisu kita sedikit demi sedikit.
- Mengorek-ngorek tanah tanih di kebun supaya terbentuk ruang udara untuk gas oksigen masuk menyuburkan tanah. Akar pokok menyerap gas oskigen untuk bernafas. Bakteria penyubur tanah dan cacing tanah juga perlukan oksigen untuk bernafas. Subur lah tanaman-tanaman kita!
- Keindahan sifat semut telah membawa kepada pengkajian ilmu Sains Entomologi (kaji serangga).
Dalil dari dua ayat terakhir (an-Naml: 18-19) menyedarkan kita supaya mensyukuri hikmah di sebalik setiap kejadian ciptaan Tuhan (walaupun kejadian itu seekor semut) sepertimana Nabi Sulaiman yang gagah sehingga diizin Tuhan memimpin bala tentera di kalangan manusia, binatang dan jin sekalipun dikurnia Tuhan ilham dari seekor semut agar terus mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT lalu terus memunajatkan doa kepada Tuhan. Doanya seperti berikut,
"Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh."
Ilmu terakhir pada entri ini ialah sepotong doa di atas untuk menjauhi semut dan serangga berbisa. Salah satu Doa Nabi Sulaiman yang diamalkan oleh para wali mukhlisin. Bersyukurlah kepada Allah SWT sekiranya anda mendapat walau sebutir ilmu sekecil semut dari entri ini.