Lama saya berfikir. Dilema. Nak terima atau tidak. Nak balas atau tidak.
Soalan itu yang membelenggu diri ini selama beberapa bulan.
Saya selesa menulis. Menulis blog ini bukan untuk melepaskan geram pada keadaan atau siapa-siapa. Menulis blog ini adalah sebagai satu perkongsian dan memberi pandangan dari sudut seorang yang baru menjadi Muslimah di dalam masyarakat Malaysia. Harapan saya, biarlah mereka yang membaca menyedari, memahami dan mengetahui dengan lebih baik lagi keadaan dan cabaran yang mungkin terpaksa dihadapi oleh wanita yang memeluk Islam. Semoga mereka yang membaca berubah ke arah kebaikan [insyaAllah] dan mereka yang mahu memeluk Islam menjadi lebih bertekad dan lebih kuat daripada saya sendiri.
Saya tahu, ada yang kurang menyenangi beberapa pendapat saya, khasnya mereka yang menganggap saya telah mencela mereka secara tidak langsung. Saya tahu tetapi oleh kerana mereka tidak menulis komen di sini atau menghubungi saya secara langsung [sekadar meluahkan kepada pihak ketiga] saya tidaklah hiraukan sangat. Saya tidak peduli sangat pihak yang pok-pek di belakang tanpa berani tampilkan diri menjelaskan ketidakpuasan hati atas penulisan saya :)
Saya hanyalah wanita biasa, seorang mualaf yang belum pun berusia 3 tahun. Bagi seorang kanak-kanak, usia 2 tahun setengah masih terlalu muda untuk berdikari dan masih memerlukan banyak bantuan dan perlindungan serta kasih sayang ahli keluarganya. Saya sedar saya masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk memantapkan diri menjadi seorang Muslimah yang kuat dalam segala segi. Saya lebih berfokus kepada pembentukan akidah berbanding dengan soal fiqah semenjak memeluk Islam [bukan pilihan sendiri tetapi keadaan yang menentukan].
Oleh yang demikian, saya serba-salah apabila menerima jemputan untuk program tertentu. Tidak seperti pendakwah bebas yang lain, saya bekerja sebagai pegawai kerajaan. Sebagai seorang pegawai kerajaan, saya memerlukan kebenaran ketua jabatan untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti luar. Jemputan untuk menyampaikan ceramah sebagai seorang mualaf dalam program institusi pendidikan atau di masjid, saya terima dengan hati terbuka dan sebagai satu pengalaman berharga, dengan syarat mendapat keizinan serta ditemani suami. InsyaAllah saya akan cuba lakukan yang terbaik dalam penyampaian saya kelak.
Namun, saya terpaksa meminta maaf kepada pihak-pihak tertentu yang ingin menjemput saya ke program khas yang lain. Mohon maaf banyak-banyak, buat masa ini, saya belum bersedia menonjolkan diri secara live untuk tatapan semua rakyat Malaysia. Faktor jarak, faktor kerja dan komitmen lain juga perlu diambilkira.
Saya menulis blog ini bukan untuk menjadi popular atau untuk glamor.[ungkapan pelajar remaja saya]. Ini satu perkongsian dan satu peninggalan untuk tatapan semua sekiranya saya sudah tiada.
Saya meletakkan gambar dan nama sendiri kerana sebagai seorang blogger, saya mahu bertanggungjawab dengan apa yang saya tulis. [Orang Islam terutama yang menulis tentang Islam tidak perlu berselindung di sebalik nama samaran dan gambar ikon, sekiranya mahu mendapat kepercayaan pembaca].
Tahun ini, saya menerima jemputan menyampaikan ceramah dan syarahan kerana bagi saya, itu satu tanggungjawab sosial, yang mampu saya lakukan sekarang. Sekiranya tugasan itu terlalu berat, saya tidak akan terima. Oleh itu, saya belum bersedia lagi untuk melibatkan diri dalam siaran TV dan media massa yang lain buat masa ini. Minta maaf mereka yang berkali-kali menjemput, tetapi saya tetap dengan pendirian saya. Saya belum bersedia menerima tanggungjawab yang lebih berat itu, dan susulan daripada ditontoni melalui kaca TV lebih mengerunkan daripada mengujakan diri ini, hehehe. Mungkin apabila keadaan berubah dan apabila hati saya terbuka untuk berbuat demikian, saya akan terima jemputan berkenaan.
Apabila saya telah memeluk Islam, saya pernah meminta sesuatu yang khas kepadaNya. Mungkin berkat doa itulah, wujudnya blog ini. Allah swt yang Maha Mengetahui. Saya hanyalah hambaNya yang masih belajar, yang masih bertatih, yang masih sering lalai, dan yang lemah tanpa bimbingan dan kasihNya. Penulisan blog ini bukanlah untuk menunjukkan saya pandai atau saya lebih baik tetapi lebih berupa peringatan kepada diri sendiri supaya selalu bersyukur dengan segala rahmatNya.
Izinkanlah saya meneruskan blog dan doakanlah semoga mereka yang menziarahi ke sini mendapat petunjuk dariNya dalam pencarian mereka, insyaAllah.
Artikel Asal: http://pukullima.blogspot.com/2009/06/bukan-untuk-glamour.html
Blog Pengarang: http://pukullima.blogspot.com/
Pengarang: Aliya