Hendak sertai kami? Sila lah ke sini dan jika anda hendak berkongsi artikel di sini, hantarkan karya anda disini.

Kita Mendidik Bukan Mendera | PSSPGM


"Cikgu silat di Batu Uban itu mengajar lembut sangat, badannya gemuk-gemuk dan pakai cerminmata."

Kata-kata ini masih aku ingati sehingga ke hari ini. Ianya datang dari seorang yang memang lama berkecimpong di dalam selok-belok silat apatah lagi silat Gayong. Dia memang hebat dan handal dan dengar kata ramai anak muridnya lari kerana tidak tahan untuk meneruskan bersilat dengannya. Pukulannaya keras, kunciannya kemas dan ilmunya tinggi. Cuma mereka yang cekal dan berani yang boleh mampu meneruskan bersamanya.

Namun aku diamkan sahaja kerana itu mungkin prinsip aku bila mengajar lembut, maka lembutlah. Mungkin mereka tidak mengetahui aku pernah melihat di depan mata, anak-anak buah yang terkeliat, patah tulang lengan, patah tulang kolar, pengsang, darah keluar dari mulut, hilang ingatan dan sebagainya. Apakah ertinya bila sudah patah-riuk sebegini, tentu masa depan yang mereka hadapi akan lebih sukar dan mengukarkan orang lain. Memang betul ini lumrah dan risiko belajar silat tetapi alangkah baiknya jika kita cuba sedaya upaya mengelakan atau mungkin mengurangkan risiko ini. Malang jangan ditempah musuh jangan di cari.

Mungkin beliau handal di sudut ilmu persilatan tetapi pernah pada suatu hari anak buahnya sendiri telah menalipon aku meminta bantuan untuk mereka membuka gelanggang di suatu tempat. Mereka diminta oleh pihak yang berwajib beberapa dokumen seperti Sijil Pendaftran Pertubuhan, surat perakuan, permit atau tauliah mengajar dan sebagainya.


Mereka telah menghubungi Cikgu Majid yang pada masa itu merupakan Setiausaha Agong pertubuhan kami. Cikgu Majid telah meminta mereka untuk menghubungi aku untuk membantu mereka membuka gelanggang baru tersebut dan memperolehi apa yang diminta oleh pihak yang berwajib itu. Aku pun diundang ke rumah mereka untuk berbincang perkara yang mereka hajati itu. Maka itulah kalam yang aku dengar tanpa mereka ketahui akulah cikgu silat yang mengajar lembut di Batu Uban itu.

Ramai orang bersilat untuk menjadi jaguh. Untuk menilai silat mana yang kuat. Tetapi aku bersilat kerana ingin mencari kawan. Ingin menarik kepada penghayatan Islam secara yang semampu boleh. Mereka yang menjadi murid silat amat taat dan hormat kepada gurunya. Kadang-kadang tangan kita ini dicium mereka setiap kali semasa berjumpa atau di dalam gelanggang. Tetapi yang anehnya tangan ayah dan ibu mereka sendiri langsung tidak pernah dicium. Setidak-tidaknya mungkin setahun dua kali. Itu pun sewaktu pagi Hari Raya sahaja. Jadi ambillah kesempatan ini mendidik anak-anak buah kita ini ke arah yang lebih baik. Mereka taat dan hormat kepada kita maka kita sayangi pula dan memberi sentuhan-sentuhan yang menyenangkan hati mereka.

Bukan jaguh silat semata-mata yang kita cari tetapi insan yang jaguh dalam membina modal insan yang lengkap. Rohani, jasmani dan mindanya yang tinggi dengan sikap yang mulia. Menjadi contoh dan senang didampingi. Berkemampuan memimpin rakan-rakan lain.Dalam masyarakat beliau dihormati dan disegani. Menjadi benteng negara. Ini semua memerlukan seni halus yang bijaksana. Mengajar bukan untuk mendera tetapi mengajar untuk mendidik. Kerahlah kemana-mana pasti mereka tidak menolak.

Lain hulu lain parang.
Lain dahulu lain sekarang.

Artikel Asal: http://pusakagayongpulaupinang.blogspot.com/2009/06/kita-mendidik-bukan-mendera.html
Blog Asal: http://pusakagayongpulaupinang.blogspot.com