Hendak sertai kami? Sila lah ke sini dan jika anda hendak berkongsi artikel di sini, hantarkan karya anda disini.

Belasungkawa Buat Asri

Suatu berita yang mengejutkan aku tentang Asri Rabbani. Kini beliau telah pun pergi ke sisi Allah sepertimana lumrahnya yang bernama insan. Sesungguhnya aku turut merasa kehilangannya dalam dunia seni nasyid. Aku mengikuti perkembangannya sejak dari zaman NadaMurni lagi.

Aku juga turut menjadi ahli Fan Club Rabbani. Hampir setiap tahun aku akan menerima kad Hari Raya dari mereka. Aku juga kerap menjadi pemudahcara mereka bilamana JIM menjemput Rabbani membuat persembahan. Maka aku berpeluang jugalah berbual dan makan bersama mereka. Mereka memang mesra. Tapi Asri tak banyak berbicara. Di kalangan mereka dia dipanggil Ustaz.

( kad Hari raya kiriman Rabbani )


Masih ingat semasa Arqam membuat majlis makan malam di kawasan TNB Perai dan NadaMurni membuat persembahan. Di antara waktu persembahan itu mereka membuat acara selingan berbual dengan penonton. Aku memberanikan diri naik ke pentas dan Asri menyuruh aku menyanyikan salah satu dari lagu mereka. Aku pun capai mikrofon dan bantailah lagu nasyid tapi berhenti sekerat saja sebab aku terlupa lirik. Darah gemuruh. Pentas terasa tinggi rendah. Sebagai hadiah aku dapatlah hamper barangan Arqam.

( Poskad ini juga dikirim oleh Rabbani )


Lagu beliau yang aku minati ialah Subuh Yang Terakhir, Hanzalah, Kerlingan Cinta dan Munajat versi NadaMurni. Agaknya orang yang mempunyai bibir yang besar ni memang pandai bernasyid. Paling best bila tengok khalqumnya yang bergetar bila dia mengalunkan suara.

Muga Allah cucuri rahmat ke atas beliau. Dan semuga amal jariahnya selama ini berkekalan memberikannya pahala bagi menyuluh perjalanannya menuju Allah.

Seperti lazimnya. Peratusan kita mati dalam keadaan perbuatan yang lazim kita lakukan dalam seharian kehidupan adalah tinggi. Maka Asri khabarnya menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika sedang menyiapkan slot Syahadah di RTM. Muga usahanya itu merupakan satu kerja dakwah yang diterima Allah.

Al Fatihah!

Pemilik Blog: Insan Marhaen
Artikel Asal: http://hafinah.blogspot.com/2009/08/belasungkawa-buat-asri.html